Kejohanan Hoki Kelayakan Remaja Asia 2012


Kejohanan Hoki Kelayakan Remaja Asia 2012 yang akan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka bermula 3 Mei depan.

Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Datuk Nur Azmi Ahmad, pihaknya yakin skuad Projek 2013 itu mampu melakar kejutan dengan muncul juara pada kejohanan selama 10 hari itu.

Menurut Nur Azmi, keyakinan itu berdasarkan prestasi skuad negara ketika menjuarai Kejohanan Hoki Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor pada November tahun lalu selepas menewaskan Australia 3-2 di pentas final.

“Kita akan menghantar pasukan yang sama muncul juara (Piala Sultan Johor B-21) untuk bertanding pada Kejohanan Hoki Kelayakan Remaja Asia 2012 selain diperkuatkan lagi tiga pemain kebangsaan.

“Berdasarkan prestasi semasa, kita kini mempunyai sebuah pasukan yang mantap selain pemain juga berjanji untuk memenangi kejohanan itu, sekali gus menempatkan diri pada Kejohanan Hoki Remaja Dunia yang akan diadakan di India pada November tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian logo Kejohanan Hoki Kelayakan Remaja Asia 2012 di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam

Nur Azmi yang juga Timbalan Presiden Persatuan Hoki Melaka berkata, terdapat 10 pasukan yang akan mengambil bahagian pada kejohanan berkenaan iaitu Malaysia, Singapura, Pakistan, Iran, Sri Lanka, Bangladesh, China, India, Jepun dan Korea melibatkan kira-kira 500 pemain dan pegawai.

“Pasukan yang mengambil bahagian akan dibahagikan kepada dua kumpulan di mana tiga pasukan terbaik akan layak mewakili Asia ke Kejohanan Hoki Remaja Dunia pada tahun depan.

“Pada kejohanan itu nanti, sejumlah 16 negara terbaik dari seluruh dunia akan bertanding untuk bergelar juara dunia,“ katanya.

Sementara itu, Mohd. Ali berkata, kejohanan yang menelan kos berjumlah kira-kira RM1.2 juta itu akan membawa banyak kebaikan kepada Melaka.

“Melaka sebelum ini sudah banyak menganjurkan program di peringkat antarabangsa dan sekali lagi diberi amanah untuk menjadi tuan rumah kepada kejohanan hoki ini.

“Ia sekali gus memberi peluang kepada negeri ini menunjukkan kemampuan dalam menguruskan kejohanan di peringkat antarabangsa selain dapat menjadi platform bagi mempromosikan sektor pelancongan di Melaka,” katanya.