Tam Spider bergerak solo



TAM akan muncul solo tanpa ahli kumpulan Spider? Itulah yang akan cuba ditampilkan Tam Spider atau nama sebenarnya Rustam Mustafa, 39, apabila bakal muncul solo tanpa ahli Spider yang lain pada tahun ini dengan membawakan imej dan genre muzik yang baharu.
Tam juga akan tampil dengan sisi yang cukup berbeza berbanding ketika bersama kumpulan Spider dahulu. Persoalan yang bermain di minda, kenapa Tam mengambil keputusan bergerak solo? Adakah kerana sambutan terhadap grup itu yang hampir tidak dipedulikan telah membuat Tam mengambil keputusan untuk meneruskan kelangsungan hidupnya sebagai seorang penyanyi secara solo.
Bertemu dengan lelaki yang tak makan dek usia itu di Studio Luncai Emas milik Datuk M. Nasir di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini, Tam mengakui, keputusan untuk bergerak solo bukan kerana perbalahan yang berlaku di antara dirinya dengan ahli-ahli Spider lain. Sebaliknya dia teringin untuk mencuba dan mengikut arus peredaran penyanyi berkumpulan yang bergerak solo seperti Awie Wings dan Amy Search.
"Saya sudah terlalu lama dengan Spider. Teringin juga nak ikut arus peredaran seperti artis berkumpulan yang bergerak solo.
"Saya ambil keputusan bergerak solo ini bukan mudah. Kena fikir semua aspek. Saya tahu banyak cabaran baharu yang perlu ditempuhi dan banyak juga benda baharu yang perlu saya terokai apabila muncul solo tanpa ahli kumpulan kelak," ujarnya yang sudah mengumpul lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam albumnya nanti.
Ditebak soalan sama ada dia akan membawa genre rock seperti yang dibawanya bersama Spider, Tam yang juga merupakan penggubah lagu itu masih tidak tahu genre muzik apa yang akan dipilihnya.
"Lagu sudah ada cuma kena pilih sahaja tetapi sehingga kini saya masih tidak tahu genre apa yang harus dipilih. Apa yang pasti, kemunculan solo saya nanti adalah berbeza sama sekali dengan diri saya semasa dengan Spider," ungkapnya yang gembira kerana rakan-rakan di dalam Spider memberi sokongan penuh kepadanya untuk muncul solo.
Malah celah Tony, Napi dan Ayie ketika Tam ditemu bual Kosmo!, mereka tidak sabar melihat Tam muncul solo nanti.
Buang perasaan malu
Tanpa berselindung, penyanyi Rela Ku Pujuk itu juga mengakui, terpaksa membuang perasaan malu ketika muncul solo nanti.
"Memang sangat berat bila fikirkan macam mana keadaan saya bergerak solo nanti. Tapi saya kena biasakan. Sebab, saya memang teringin untuk merasai bagaimana perasaan menyanyi solo tanpa ahli kumpulan," jelasnya yang juga merancang untuk berduet bersama penyanyi Aizat dan Alyah.
Tidak bermakna apabila Tam muncul solo kelak dia akan meninggalkan terus rakan-rakan Spidernya. Malah, sudah ada sesuatu yang dirancang Tam bersama rakan-rakannya.
Bagi Tam, keutamaannya masih dengan kumpulan Spider. Malah, dia juga mengakui, sedikit sebanyak kemunculan solonya nanti juga akan membantu menaikkan nama kumpulan Spider.
Bercerita tentang projeknya bersama kumpulan Spider, ungkap Tam, bulan April tahun lalu, Spider sudah muncul dengan album baharu berjudul KitaSatu.
Malah lagu single ketiga mereka, Tapi Bagaimana sedang diputarkan di corong-corong radio dan juga digunakan untuk runut bunyi drama bersiri Vanila Coklat.