PASTE NAVIGATION MENU CODE

, ,

Senarai Protege Mentor Musim Ke-6

Program realiti pencarian bakat Mentor yang kini memasuki musim ke-6 telah mendapat sambutan hangat apabila lebih 3000 peserta hadir ketika berlangsungnya sesi uji bakat pada 13 & 15 Januari 2012 di Sabah, 20 & 22 Januari 2012 di Sarawak dan lokasi akhir di Kuala Lumpur pada 4 hingga 19 Februari 2012. Menerusi paparan sepanjang sesi uji bakat yang telah disiarkan dalam dua episod pertama Mentor pada 4 dan 11 Mac 2012 lalu, pelbagai karenah, ragam dan aksi para peserta dapat disaksikan hanya kerana ingin bergelar protege bagi Ella, Ramlah Ram, Fauziah Dato’ Ahmad Daud, Faizal Tahir, Ferhad dan Adam.

Berbekalkan kemampuan diri dan potensi yang besar, Wanie, KJ, Caroline, Ana Syuhada, Zatul dan Anas adalah 6 protege yang berjaya mengharungi sesi uji bakat yang telah diadakan dan sehingga mampu memikat hati Mentor pilihan masing-masing. Serentak dengan majlis memperkenalkan protégé untuk musim ke-6 yang berlangsung di Hard Rock Café, Kuala Lumpur pada hari ini, bermulalah peranan kesemua Mentor untuk memberikan tunjuk ajar kepada protégé masing-masing segala ilmu berkaitan dengan bidang nyanyian dan seni persembahan bagi memperlengkapkan diri sebagai penghibur. Selain itu, Mentor juga bertindak sebagai idola yang memberi inspirasi kepada anak didik mereka. Mentor dan protege manakah yang bakal membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai RM100,000 kali ini?

Penerbit Eksekutif Mentor musim ke-6, Muhamad Sufian Isa berkata, “Populariti program Mentor telah menyuntik semangat kepada kru produksi dalam pembikinan musim terbaru ini. Kali ini, kami menerima lebih 3,000 penyertaan sepanjang sesi uji bakat berlangsung. Barisan Mentor telah melakukan pemilihan dengan amat teliti sehingga Fauziah Dato’ Ahmad Daud telah mengadakan sesi uji bakat kali kedua di Sri Pentas dan sebelum itu, sesi uji bakat tertutup di Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi mendapatkan calon yang memenuhi fokus kriteria dan benar-benar meyakinkan beliau. Maklumlah, gandingan mentor dan protege perlu serasi dan memberikan komitmen penuh bagi menjayakan pertandingan yang bakal berlangsung selama 3 bulan ini.”


“Keenam-enam protege telah memulakan sesi latihan dan persiapan bersama barisan tenaga pengajar serta Mentor mereka sejak semalam (12 Mac) bagi mempamerkan persembahan terbaik di konsert pengenalan yang akan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam pada 18 Mac 2012 jam 9.00 malam. Selepas itu, mereka akan dibahagikan kepada 2 kumpulan dan membuat persembahan sebanyak 4 kali di konsert mingguan yang diadakan secara berselang-seli antara Kumpulan A dan B bagi mengumpul markah. Pada minggu terakhir, protege yang mendapat markah terendah dari setiap kumpulan akan disingkirkan. 2 protege dari Kumpulan A dan B akan digabungkan di peringkat separuh akhir dan bertanding selama 2 minggu sebelum menentukan siapakah finalis yang bakal berentap di peringkat akhir Mentor. Selain itu, penonton juga dapat menyaksikan segmen khas di mana peserta pilihan dari sesi uji bakat akan membuat persembahan”, tambah En. Sufian lagi.

Untuk musim ke-6, Mentor masih mengekalkan format permarkahan kepada 3 bahagian iaitu 50% daripada juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% daripada juri awam yang terdiri dari kalangan pelajar muzik, wartawan dan golongan semi-profesional dalam industri muzik. Juara Mentor 6 akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000 manakala naib juara wang tunai RM30,000.

Mentor menampilkan Ally Iskandar Mohd Mardzi sebagai pengacara program, Jurnal Mentor dan Jurnal Protege. Selain itu, Nas Ahmad bertindak sebagai pengacara bersama sewaktu konsert mingguan untuk mendapatkan kisah-kisah yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas. Musim ini turut mempersembahkan Ajai sebagai Penasihat Vokal, Boo Jay (Floor Fever) sebagai Penasihat Persembahan, Faizal Uzir (Lok U) sebagai Pengarah Muzik serta dua orang juri tetap iaitu Dato’ Ramli M.S. dan Dato’ Sharifah Aini.

Ikuti konsert mingguan Mentor yang disiarkan secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam pada setiap hari Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam. Penonton juga boleh menyaksikan sorotan persediaan dan aktiviti protege bersama mentor mereka melalui Jurnal Mentor, setiap hari Ahad selama 30 minit bermula jam 6.00 petang pada 18 dan 25 Mac dan 5.00 petang, mulai 1 April. Manakala Jurnal Protege, kapsul 2 minit yang akan memaparkan diari protege, setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 6.58 petang bermula 19 Mac. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang Mentor musim ke-6, penonton boleh melayari laman sesawang rasmi Mentor di www.tv3.com.my/mentor6 dan laman sosial Facebook di www.facebook.com/mentortv3. Pengguna laman sosial Twitter boleh menggunakan ‘hash tag’ (#Mentor6) untuk menghangatkan lagi bahang Mentor!

Stesen radio popular Hot FM merupakan radio rasmi Mentor musim ke-6, Intekma Resort Shah Alam selaku penginapan rasmi protege dan Hard Rock Café sebagai penaja lokasi mini showcase yang akan berlangsung pada bulan April nanti.

Mentor : Ramlah Ram | Protege : Ana Syuhada
Mentor : Faizal Tahir | Protege : Anas
Mentor : Adam | Protege : KJ
Mentor : Ramlah Ram | Protege : Ana Syuhada
Mentor : Ferhad | Protege : Wanie
Mentor : Ella | Protege : Caroline
Mentor : Ogy Ahmad Daud | Protege : Zatul

0 comments:

Post a Comment

a
 
//PART 3 //PART 4